Eddin Khoo

PETALING JAYA – Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) akan menyerahkan laporan akhir kajian pengiktirafan sijil itu kepada Kementerian Pendidikan pada Isnin depan.

Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo berkata, beliau sedang melakukan suntingan terakhir sebelum menyerahkan laporan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata, laporan itu merupakan satu berita baik untuk semua orang kerana tahap keseriusan kerajaan terhadap UEC sudah memadai untuk menjadi “khabar baik” buat rakyat.

“Kami telah menghabiskan masa setahun mengkaji untuk menyelesaikan masalah rumit yang wujud selama 40 tahun,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, isu UEC telah dipolitikkan dan beliau berharap orang politik menyingkirkan agenda politik masing-masing.

“Disebabkan orang politik (agenda politik),  banyak persepsi silap telah timbul dan keadaan ini menyebabkan ketegangan kaum dan konflik budaya.

“Sila beritahu orang politik ini supaya bersikap matang dan berhati-hati semasa memberi kenyataan,” katanya.

Beliau juga meminta pihak tertentu agar tidak mengarut dengan membuat spekulasi bahawa pengiktirafan akademi (academy recognition) akan diberi kepada UEC.

“Sila beritahu mereka supaya tidak cakap sembarangan kerana saya masih menulis laporan, dan laporan yang ditulis belum sampai ke tahap itu.

“Jangan bermain politik dan jangan dengar desas-desus,” katanya. – MalaysiaGazette