Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan ketidaktentuan global khususnya kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ketegangan perdagangan AS-China, selain penurunan harga minyak mentah global.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1830/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1830 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata sentimen pasaran global masih tidak banyak berubah disebabkan kemelut perdagangan berpanjangan antara kedua-dua kuasa ekonomi itu yang telah menyebabkan kesan tidak menentu di pasaran seluruh dunia, terutama negara yang sedang pesat membangun.

“Kemelut perdagangan berpanjangan sentiasa dipantau semua pelabur memandangkan ia menimbulkan gangguan global dalam rantaian bekalan selain peningkatan kos dalam pelbagai sektor. Tanpa petanda positif bagi mencapai persefahaman (antara AS-China), pasaran akan terus kekal tidak berubah,” katanya.

Pada 9.30 pagi, harga minyak mentah Brent berada pada US$61.53 setong berbanding US$63.29 setong semalam.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan rendah berbanding euro kepada 4.6042/6088 daripada 4.5967/6017 pada Selasa dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.2200/2241 daripada 5.2054/2095.

Ringgit turut susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0395/0422 daripada 3.0360/0386 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.9064/9103 daripada 3.8794 / 8832.- BERNAMA