Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan kejadian di mana Putera Turki bertindak mengadu kepada ayahandanya, Raja Abdullah kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengurangkan bayaran pinjaman pelaburan.

Jelas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu, jumlah itu dikurangkan daripada AS$330 juta kepada AS$250 juta.

Shahrol juga memberitahu perkara itu hanya diketahuinya melalui dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho kepadanya.

“Saya telah kurangkan pembayaran pada 27 Mei 2011 selepas mendapat maklum balas daripada Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Radhi Mohamad bahawa 1MDB tidak mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi permintaan Petro Saudi Iinternational (PSI) ini.

“Saya juga telah berbincang perkara ini Jho Low dan beliau juga telah meminta saya hantar surat kepada PSI. Kata Jho Low ketika itu kepada saya, ‘they complained to daddy’.

“Saya pada masa itu ‘difahamkan’ oleh Jho Low bahawa ada perbualan antara Datuk Najib dengan Raja Abdullah berhubung perkara ini.

“Oleh kerana jumlah USD330juta ini sudah dipersetujui, akhirnya saya terpaksa akur dan mengarahkan pembayaran tranche terakhir iaitu USD125juta dibuat kepada PSI,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Shahrol juga memberitahu 1MDB telah membuat transaksi pembayaran sebanyak empat kali iaitu pada 20 Mei 2011 (AS$30 juta), 23 Mei 2011 (AS$65 juta), 27 Mei 2011 (AS$110 juta) dan 25 Oktober 2011 (AS$125 juta).

Dalam pada itu, Shahrol juga memberitahu PSI menerusi wakil Patrick Mahony memohon secara lisan melalui Jho Low untuk pengeluaran (drawdown) AS$750 juta daripada 1MDB.

Shahrol mendakwa dirinya berpendapat 1MDB tidak sepatutnya memberi lebih banyak pinjaman kepada PSI.

“Saya cuba ‘tarik tali’ dengan Jho Low kerana berpendapat wang 1MDB sewajarnya digunakan untuk projek tempatan.

“Saya minta Jho Low membuat rundingan dan perbincangan dengan Datuk Najib Razak dan PSI untuk mengurangkan jumlah pinjaman yang perlu diberi kepada PSI.

“Bagaimanapun saya tidak terbabit langsung dalam sebarang perbincangan mengenai pinjaman AS$750 juta itu. Saya juga tidak tahu butiran rundingan seperti siapa dan di mana, yang akhirnya telah mengurangkan jumlah pinjaman kepada AS$330 juta,” dakwanya.

Perbicaraan 1MDB melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri kini sedang berlangsung. –MalaysiaGazette