Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan menafikan dakwaan yang mengatakan jumlah bersih hutang langsung kerajaan setakat 26 September 2019 adalah RM58 bilion, sekali gus mengatasi sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2019 iaitu RM52 bilion.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, angka RM58 bilion yang didakwa sesetengah pihak itu tidak mengambil kira dua faktor utama iaitu penerbitan dan penebusan hutang serta sekuriti secara teratur berdasarkan jadual.

Bagi keseluruhan tahun 2019 katanya, kerajaan merancang untuk menerbitkan hutang langsung kasar sebanyak RM135.7 bilion sambil menebus semula hutang berjumlah RM83.3 bilion.

Jelasnya, daripada jumlah penebusan sebanyak RM83.3 bilion tersebut, RM38.8 bilion telah ditebus dalam tempoh Januari-Ogos lalu manakala RM44.5 bilion lagi akan ditebus dalam tempoh September-Disember akan datang.

Dengan itu, hutang sejumlah RM52.4 bilion sahaja akan diterbitkan secara bersih untuk tahun ini seperti yang dibentang dan diluluskan di Parlimen pada Disember tahun lepas, tegasnya.

“Angka hutang langsung bersih yang dilihat dari sudut bulan-ke-bulan tanpa mengambil kira jadual penerbitan dan penebusan tahunan akan memberikan gambaran yang tidak tepat tentang paras hutang langsung kerajaan.

“Perbuatan tersebut sengaja menyebabkan kekeliruan tentang situasi sebenar kewangan negara, memandangkan belanjawan kerajaan dilakukan secara tahunan bukan bulanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Faktor kedua menurut Guan Eng adalah nilai penerbitan dan penebusan sepanjang tahun adalah tidak sekata kerana keperluan kerajaan untuk mengurus aliran tunainya dengan baik.

Kerajaan menurut beliau, sentiasa menerbitkan lebih banyak hutang dalam separuh tahun pertama berbanding separuh tahun kedua kerana pendapatan kerajaan sentiasa lebih rendah dalam separuh tahun pertama berbanding separuh tahun kedua.

Pada masa yang sama, penebusan hutang akan sering menjadi lebih tinggi dalam separuh tahun kedua apabila pendapatan kerajaan adalah tinggi, katanya lagi.

“Secara ringkasnya, angka hutang langsung bersih perlu dilihat dari sudut tahunan dan bukan dari sudut bulanan.

“Ini bagi mengambil kira rancangan penerbitan dan penebusankerajaan.

Sebarang kesimpulan yang dibuat berdasarkan maklumat untuk setengah tahun dan tidak lengkap berniat untuk mengelirukan dan tidak menggambarkan kedudukan kewangan kerajaan yang sebenar.

“Perancangan secara tahunan ini sudah menjadi amalan kewangan biasa yang diguna pakai oleh kerajaan semasa dan terdahulu.

“Sesiapa yang mendakwa sebaliknya walaupun pernah menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan yang lama tidak bersikap jujur.

“Perlu diingatkan bahawa sebahagian daripada pendapatan kerajaan digunakan untuk membayar balik hutang dan liabiliti kerajaan, seperti hutang 1MDB,” jelasnya.

Tambah Guang, kerajaan sedang berada di landasan untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus tahun ini berbanding defisit 3.7 peratus yang dicatatkan tahun lepas.-MalaysiaGazette