GST telah dihapuskan sejak 1 Jun 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta membuat pusingan U dengan mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2020.

Ini kerana, GST merupakan sistem percukaian telus hingga tiada ruang untuk individu atau syarikat boleh mengelak atau memanipulasi pembayaran cukai, kata Ketua Pemuda Dewan Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Selain itu, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diguna pakai oleh kerajaan Pakatan Harapan sekarang adalah sistem cukai ke belakang kerana kurang keberkesanan untuk memantau sistem ini.

“Umum mengetahui bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah memansuhkan sistem cukai GST dengan tergopoh-gapah demi melunaskan satu-satunya janji manifesto 100 hari mereka.

“Akibatnya, kerajaan kehilangan sumber pendapatan selama 2 bulan kerana tiada sistem cukai baru dilaksanakan menggantikan GST,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, DPIM menyokong kenyataan bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, yang mencadangkan agar kerajaan melakukan reformasi terhadap sistem cukai negara yang mudah dielak dan diambil
kesempatan.

Namun begitu, reformasi sistem cukai negara perlu diperhalusi agar sistem baru tersebut dilakukan dengan telus dan tidak membebankan rakyat secara keseluruhannya.

Tambahnya, dengan Guan Eng mungkin boleh membuat penambahbaikan termasuk menurunkan kadar GST daripada 6% kepada 3% untuk mengurangkan beban rakyat serta menggiatkan urusan jual-beli bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“DPIM memberi jaminan tidak akan menyindir pusingan-U Pakatan Harapan kali ini,” katanya yang berharap kerajaan mengambil kira pandangan Jomo agar kerajaan tidak lagi membuat satu keputusan yang tergopoh-gapah demi mainan politik yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

“Belajarlah daripada kesilapan yang dibuat setahun yang lalu ketika negara hilang sumber pendapatan selama 2 bulan,” katanya. – MalaysiaGazette