Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO memandang serius dan menzahirkan keraguan terhadap dakwaan Kasthuri Patto tentang skandal penjualan Kad Pengenalan (IC) yang kononnya telah dimulakan sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Walhal Kasthuri didakwa terlupa pada waktu tersebut juga skandal ini telah didedahkan di Pulau Pinang yang ketika itu Kerajaan Negeri diperintah oleh DAP dari tahun 2008 lagi.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, ironinya, DAP pernah membangkitkan sindiket penjualan IC di Sabah yang berlaku di zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri lagi.

“Sekiranya Kasthuri Pato dan DAP yakin bahawa skandal penjualan IC dibuat sejak era BN, mengapa pula DAP tidak membuat apa-apa pendedahan mengenai sindiket penjualan IC di Pulau Pinang selama ini?,” katanya.

Asyraf berkata, Kasthuri sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap begitu defensif kerana ia hanya menyerlahkan sandiwara DAP yang cuba mengalihkan isu, bahkan seolah-olah membenarkan spekulasi dan persepsi umum bahawa DAP yang ternyata menerima manfaat politik daripada penambahan jumlah pengundi di Pulau Pinang demi mengekalkan kuasa.

Lantaran itu, Pemuda UMNO sekali lagi mengulangi desakan kami sebelum ini untuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan.

Penubuhan RCI ini tentunya mampu merungkai segala polemik termasuklah tuduhan dan pelbagai persepsi yang berlegar demi memastikan hak kewarganegaraan Malaysia yang merupakan anugerah tertinggi negara tidak sewenangnya tergadai dek kerakusan kuasa dan agenda politik dangkal, ujarnya. – MalaysiaGazette