Zuraida Kamaruddin PBM Parti Bangsa Malaysia leaves PPBM Bersatu
Zuraida Kamaruddin

SUBANG JAYA – Sebanyak 17 daripada 94 pemaju projek rumah mampu milik di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dibenarkan menjual rumah yang dibinanya.

Sebelum ini, mereka hanya dibenarkan membangunkan projek itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan itu diambil selepas kesemua 17 pemaju projek berkenaan memperbaharui perjanjian rakan kongsi PR1MA.

“Tujuh belas pemaju ini melibatkan 12,527 unit rumah mampu milik jenis strata dan teres fasa pertama di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Mereka ini sudah siap 90 peratus dan berbaki 10 peratus lagi. Jika sebelum ini mereka hanya dibenarkan membina rumah tetapi kini juga dibenarkan menjual untuk menampung 10 peratus projek untuk disiapkan tanpa mengharapkan peruntukan kerajaan.

“Semua unit rumah dijual pada harga RM300,000 dan ke bawah dengan harga 30 peratus diskaun menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan laris lebih 50 peratus sehingga ada yang dijual serendah RM250,000,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media majlis penyerahan dokumen perjanjian PR1MA kepada pemaju disenaraipendek itu hari ini.

Tambah Zuraida, kerajaan telah menyediakan RM19 bilion untuk perbadanan ini bagi menampung pembangunan perumahan yang dilaksanakan oleh pemaju di bawah kementeriannya.

Jelas beliau, sebanyak RM10 bilion telahpun digunakan pemaju sebelum ini namun pengagihan bakinya dihentikan kerana pemaju akan menjana wang hasil jualan 90 peratus unit yang telah siap untuk menampung kos baki 10 peratus projek mereka.

Sementara itu, Zuraida berkata, pengurusan PR1MA akan duduk berunding dengan kira-kira 500 orang pembeli awal rumah mampu milik yang mahu menikmati 30 peratus diskaun.

“Secara keseluruhannya sebanyak 16,000 unit telah ditempah dan 5,000 unit sudah dijual manakala 8,000 unit lagi telah diluluskan pinjaman bank.

“PR1MA mensasarkan jualan bernilai RM14.6 bilion dan maksimum RM17 bilion rumah mampu milik menjelang akhir tahun ini menerusi Kempen Pemilikan Rumah ini,” katanya.-MalaysiaGazette