Salah satu makam yang menjadi tarikan pelancong di Arab Saudi. foto Reuters

RIYADH – Arab Saudi hari ini akan menawarkan visa pelancong asing buat kali pertama bagi 49 buah negara.

Ia merupakan salah satu usaha untuk mempelbagaikan ekonominya, selain daripada sumber minyak yang memacu ekonominya selama ini.

Malah, Arab Saudi turut meminta syarikat-syarikat asing untuk melabur dalam sektor pelancong untuk menyumbang 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.

Susulan pembukaan visa itu, Arab Saudi juga akan melonggarkan mengenai tatacara berpakaian bagi wanita asing.

Ketua Pelancongannya, Ahmed al-Khateeb berkata, pemakaian abaya tidak akan menjadi mandatori kepada pelancong wanita asing tetapi berpakaian secara sederhana termasuk di pantai-pantai awam/

Tetapi, pengharaman alkohol masih kekal.

“Pelancong asing akan menikmati banyak perkara lain di Arab Saudi,” katanya.

Ahmed berkata, permohonan visa boleh dibuat melalui atas talian pada harga AS$80 tanpa sebarang peraturan bagi wanita yang tanpa penjagaan/

Namun, akses kepada Mekah dan Madinah masih dilarang.

Tahun lalu, Arab Saudi telah mula mengeluarkan visa kepada pelawat yang menyertai acara sukan dan budaya.

Menurut Ahmed, Arab Saudi mensasarkan untuk menarik 100 juta pelancong domestik dan asing menjelang tahun 2030, sekali gus mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dalam sektor itu. – MalaysiaGazette