Gambar hiasan

KLANG – Ahli MCA Kapar di Selangor akan keluar parti beramai-ramai di bawah pimpinan ketua bahagian, Datuk Song Kee Chai jika parti itu gagal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Kee Chai ketika menghadiri satu program pesta tanglung berkata, jika UMNO tetap mahu bertanding di Tanjung Piai, maka MCA juga harus menggunakan lambang sendiri untuk menyertai pilihan raya kecil di Johor itu.

“Hari ini, MCA sanggup mati dalam keadaan berdiri berbanding hidup mengemis. MCA harus mempertahankan martabatnya,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Kee Chai berkata, keputusan MCA Kapar itu bukan bertujuan mengugut parti sebarisan atau untuk bermegah-megah, tetapi atas rasa sayang kepada parti.

“MCA Kapar juga berharap tidak kira siapa calonnya, MCA akan sehati untuk memenangi semula kerusi Tanjung Piai,” katanya.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siang dilaporkan telah bertemu dengan Ketua MCA Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng untuk membincangkan hal pilihan raya kecil.

Ketika diminta mengulas tentang gesaan akar umbi parti yang mahu MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika tidak diberi peluang bertanding di Tanjung Piai, Jeck Seng berkata, “BN harus memandang serius pandangan akar umbi.”

Jeck Seng berkata, beliau mempunyai hasrat untuk bertanding semula di Tanjung Piai, tetapi keputusan mengenai calon terletak pada parti.

Beberapa pertubuhan Cina khususnya tokong-tokong telah meminta supaya Jeck Seng yang rajin berkhidmat di Tanjung Piai walaupun setelah kalah dalam pilihan raya supaya dicalonkan semula. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.