Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jumlah subsidi petrol RON95 dan diesel yang perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 28 September hingga 4 Oktober melonjak kepada RM173.26 juta berbanding RM123.16 juta sebelum ini.

Ini kerana, berdasarkan pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama, masing-masing adalah RM2.49 seliter dan RM2.39 seliter, kata Kementerian Kewangan.

Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk tersebut masih dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

Manakala harga runcit petrol RON97 naik 12 sen seliter kepada RM2.79 mulai esok hingga 4 Oktober ini. – MalaysiaGazette