Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw besama juruterbang dan kru kabin AirAsia di Anugerah Jenama Putra 2019.

KUALA LUMPUR – AirAsia telah memenangi anugerah Emas dalam kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan di Anugerah Jenama Putra 2019, mengekalkan kedudukannya sebagai jenama syarikat penerbangan pilihan Malaysia selama sedekad.

Anugerah Jenama Putra, yang dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dan diiktiraf oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), adalah anugerah jenama berprestij di Malaysia yang menentukan pilihan pengguna.

Ia melibatkan proses komprehensif dengan kerjasama rakan penyelidikan global Ipsos, sebuah agensi penyelidikan global terkemuka yang terdiri daripada lebih 16,000 kakitangan di 88 negara.

Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw di majlis yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas kemenangan itu, Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw berkata, syarikat mengucapkan terima kasih kepada para penumpangnya tas undian mereka.

“Kami berbesar hati kerana jenama AirAsia terus menjadi pilihan semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila kami kini ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi perjalanan dan gaya hidup.

“Anugerah ini ditujukan kepada semua yang menyokong kami, dan kepada Allstars yang bekerja keras membangunkan AirAsia sehingga ia menjadi jenama terunggul seperti hari ini,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette