KUALA LUMPUR – MCA mengingatkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa tempoh akhir projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura hanya berbaki lagi 72 jam sahaja.

Meskupun begitu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat keputusan.

“Tempoh perjanjian untuk pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) dengan Singapura hanya tinggal 72 jam, tetapi kerajaan PH masih tiada keputusan. Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah menegaskan bahawa projek RTS akan diteruskan dan tidak akan dibatalkan sekaligus memberi berita baik kepada rakyat Johor.

“Tetapi rakyat Johor telah menunggu lebih 15 bulan, mana berita baik tersebut?

“Adakah Anthony mahu membayar pampasan sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Singapura? Manakala rakyat terus menghadapi masalah kesesakan trafik yang teruk setiap hari?,”kata Ketua Biro Komunikasi & Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng.

Menurutnya, seramai 300,000 orang menyeberangi sempadan setiap hari, termasuk kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Beliau melahirkan rasa bimbang sekiranya kerajaan PH akhirnya akan membayar ganti rugi kepada Singapura dengan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM200 juta seterusnya membatalkan RTS yang berupaya memberi manfaat kepada rakyat, lebih-lebih lagi keadaan di Tambak Johor yang sering mengalami kesesakan teruk.

Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir, beliau telah menggariskan empat langkah untuk mengatasi masalah kesesakan trafik termasuk pelebaran jambatan, memperluaskan pintu masuk imigresen, menambah laluan berbumbung untuk pejalan kaki dan membuka laluan laut.

Langsung tidak menyentuh tentang RTS, kata Tee lagi.

“Rakyat Johor telah memberi Anthony masa 15 bulan dan RM2 juta untuk mengkaji skop, struktur dan kos rancangan projek RTS tersebut. Jika dia tidak dapat menyampaikan keputusan dan tidak boleh memulakan semula projek RTS, maka dia benar-benar akan mengecewakan rakyat Johor yang memberi kepercayaan terhadap beliau,” ujarnya.

Tee menggesa kerajaan tentang perlunya mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dengan segera dan kaedah yang berkesan serta meneroka langkah-langkah baru seperti memperbaiki infrastruktur sempadan, mengkaji semula dasar dan peraturan merentas sempadan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan merentas sempadan. – MalaysiaGazette