Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bercakap kepada media pada Persidangan Serantau Inter-Parliamentary Union (IPU) di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menegaskan berlaku salah faham berhubung pemasangan kain rentang yang menggunakan tulisan Cina di sebuah sekolah yang dihadirinya baru-baru ini.

Katanya, perkara itu tidak wajar dijadikan isu kerana beliau sudah memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Terima kasih di atas keprihatian Menteri Pendidikan. Saya berasa terharu ramai orang sayang saya, mana-mana saya pergi orang akan perhatikan dan memantau.

“Sebenarnya saya menerima jemputan daripada sekolah rendah, kain rentang itu diletak oleh salah seorang bekas pelajar. Dia bukan dari sekolah dan sebagai SRJK dia meletakkan (tulisan Cina) walaupun dalam bahasa Mandarin.

“Tetapi satu perkara memang pasti, semua sekolah kerajaan menghormati Bahasa Kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kor Ming berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Maszlee di laman sosial Instagram Ahad lalu apabila meminta Pengerusi DAP Perak itu menegur tindakan sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung yang tidak menggunakan bahasa Melayu pada kain rentang yang memaparkan program anjuran sekolah berkenaan.

Perkara itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Simpang Renggam ekoran kain rentang yang dipasang di sekolah tersebut telah menggunakan lambang Jata Negara.

Menerusi ruangan komen pada hantaran Kor Ming, Maszlee berkata, memandangkan logo kerajaan digunakan pada poster tulisannya juga perlu menggunakan bahasa Kebangsaan.

Malah, Kor Ming yang merupakan wakil kepada kerajaan dan menghadiri program berkenan perlu membuat teguran kepada penganjur berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, beliau telah menghantar pesanan teks kepada Maszlee sebagai menjelaskan situasi sebenar.

Ujarnya, beliau turut menerima teguran Maszlee itu dengan hati yang terbuka dan matlamat penting perlu diketengahkan ialah membantu semua sekolah-sekolah dengan tidak mengira aliran.

Terdahulu, Kor Ming merasmikan Persidangan anti pengganas dengan kerjasama Parlimen Inter-Parliamentary Union (IPU) yang berlangsung di Hotel Majestic di sini.

Sebanyak 25 buah negara dari Asia Pasifik menghadiri persidangan yang akan berlangsung sehingga Khamis.

Persidangan itu menjurus kepada perkara perbicangan iaitu mencari langkah-langkah khusus bagi menghalang kegiatan pengganas yang menjadi ancaman di sesebuah negara. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Maszlee tegur kain rentang papar jata kerajaan tetapi tidak guna bahasa kebangsaan

1 Komen

  1. Letak jawatan la.. Ekonomi lansung tak berkembang.. Hari2 mainan dan sendiwara wayang Tamil dgn wayang cina jer.. HAPRAK betul PH ni.

Comments are closed.