Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula segala aktiviti korporat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai langkah mengembalikan kegemilangan badan berkanun itu sebagaimana yang pernah dikecapi ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kajian itu perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukannya terburu-buru hingga menggunakan jalan mudah dengan melepaskan kepentingan aset-aset penting milik LTAT.

“Kita tidak mahu, para pencarum terbeban sekiranya penjualan aset-aset tersebut mencatatkan kerugian dan bukannya keuntungan.

“Kepentingan pencarum hendaklah dijadikan keutamaan. Cari jalan penyelesaian dan bukannya memberi 1001 helah untuk terus membenarkan prestasi kewangan LTAT mencatatkan angka tidak memberangsangkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, maklumat terbaharu oleh LTAT itu merupakan satu perkembangan yang membimbangkan kerana status LTAT sebagai salah sebuah syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) yang besar sebaris dengan KWSP, PNB, Tabung Haji dan Khazanah.

Beliau berkata, sudah semestinya apabila prestasi kewangan sebuah GLIC yang besar tidak memberangsangkan, ia sekali gus memberi gambaran bahawa sumber kewangan negara diuruskan secara tidak baik.

LTAT semalam, mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, berkata pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta dan ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih dinyatakan semula sebanyak RM459.5 bagi tahun kewangan 2017.

Dividen berkenaan akan diagihkan pada ahli, minggu ini. – MalaysiaGazette