Bekas Setiausaha Pejabat kepada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) di Kementerian Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini atas lima pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan kesalahan meminta dan menerima rasuah dianggarkan RM3 juta.

Tertuduh Rohaya Sabot, 39, berbaju kurung tampil di mahkamah pukul 8.50 bersama peguamnya sebelum petuduhannya dibacakan pukul 9.25 pagi di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Rohaya yang masih berkhidmat sebagai penjawat awam di kementerian sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

Mengikut fakta kes, Rohaya didakwa melakukan kesalahan antara 25 November dan 26 Disember 2018.