Kombinasi pelumba Ferrari Leclerc dan Vettel perlu diperhatikan secara ketat dan khusus kerana boleh mencetuskan masalah

SOCHI – Charles Leclerc dan Sebastian Vettel memerlukan perhatian khusus setiap masa dalam sepanjang perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Pengarah teknikal Ferrari, Ross Brawn berkata, kedua-dua pelumba pasukan Scuderia itu merupakan kombinasi pelumba yang ‘hangat’ dan boleh mencetuskan masalah.

Vettel, 32, ingkar arahan pasukan untuk membenarkan Leclerc berusia 21 tahun memintas untuk mendominasi perlumbaan Grand Prix Rusia Ahad lalu.

Juara dunia empat kali itu kini menduduki rangking kelima dalam kejuaraan dunia F1 musim ini dan 21 mata di belakang pelumba tempat ketiga dalam carta.

“Mereka berdua adalah kombinasi pelumba yang ‘hangat’ dan memerlukan pemerhatian dan pengendalian yang lebih khusus dan berhati-hati.

“Ferrari telah melalui beberapa proses penambahbaikan pada jenteranya bagaimanapun masih ada banyak perkara yang perlu diuruskan bersama pelumbanya,” katanya.

Sejak GP Perancis pada Jun lalu, Leclerc telah menyerlah dan mengenepikan rakan sepasukan yang berpengalaman itu dalam sembilan perlumbaan berturut-turut dengan purata kelebihan 0-4 saat setiap pusingan di atas litar.

Berbanding Vettel, Leclerc mempunyai dua kemenangan dan enam kali memulakan perlumbaan pada petak pertama.

Ferrari merancang untuk kemenangan pada kedudukan nombor satu dan dua di Sochi untuk merekodkan kemenangan keempat.

Malangnya, rancangan itu gagal dan ia memihak kepada Mercedes dengan Lewis Hamilton merangkul kejuaraan itu diikuti rakan sepasukannya Valtteri Bottas.

Brawn telah bersama Ferrari semasa legasi Michael Schumacher yang memenangi kejuaraan dunia sebanyak lima kali antara tahun 2000 hingga tahun 2004.

Kini dia menyokong ketua pasukan Mattia Binotto untuk menyelesaikan segala masalah berbangkit untuk mengembalikan kegemilangan Ferrari.- MalaysiaGazette