KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dilantik sebagai Bendahari Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) yang berpusat di United Kingdom.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi CPA Malaysia disahkan pelantikan itu untuk tempoh tiga tahun sehingga tahun 2022.

CPA cawangan Malaysia mengesahkan maklumat itu dalam kenyataan ringkas hari ini.

Ibu Pejabat CPA berkata pelantikan Timbalan Menteri Industri Utama Malaysia untuk menerajui jawatan itu telah diputuskan dan disahkan oleh Perhimpunan Agung CPA ke-64 yang bersidang di Uganda pada 22 hingga 29 September lalu.

Dengan pelantikan tersebut, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga bertanggungjawab untuk hal ehwal kewangan CPA selain berkhidmat sebagao ahli pemegang amanah pertubuhan antarabangsa berkenaan.

Untuk rekod, ini kali pertama seorang ahli Parlimen Malaysia telah diberikan penghormatan dilantik untuk mengisi jawatan Bendahari CPA.

Selain CPA, Shamsul Iskandar yang juga pemimpin PKR turut aktif dalam pertubuhan antarabangsa yang lain termasuk Ahli Lembaga dan Pengerusi Asia bagi Parlimentary Network on The World Bank dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

ia merupakan jaringan parlimen peringkat global bagi pertanggungjawaban dan ketelusan institusi kewangan antarabangsa dan pembiayaan pembangunan pelbagai hala.- MalaysiaGazette