Pemain-pemain Barcelona gembira selepas mencapai kemenangan pada perlawanan menentang Inter Milan pada Liga Juara-Juara awal pagi tadi

BARCELONA – Barcelona kembali bangkit daripada ketinggalan apabila menundukkan Inter Milan 2-1 melalui dua jaringan penyerang prolifik Luis Suarez dalam aksi peringkat Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Lionel Messi yang bermain dengan pasukan jaguh La Liga itu menekankan dia tidak mempunyai sebarang masalah sama ada dengan Antoine Griezmann atau pemain lain serta ahli lembaga pengarah Barcelona.

Beraksi di laman sendiri, Camp Nou, pasukan bimbingan Ernesto Valverde dikejutkan seawal minit ketiga perlawanan melalui jaringan pasukan pelawat yang disumbangkan oleh Lautaro Martinez.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Barcelona yang menguasai perlawanan cuba merapatkan kedudukan namun keputusan itu kekal sehingga masa rehat.

Barcelona yang terpaksa menunggu hampir sejam perlawanan akhirnya menjelmakan gol penyamaan hasil jaringan Suarez cantik pada minit ke-58.

Enam minit sebelum masa perlawanan sebenar berakhir, Suarez muncul wira pasukan dengan merekodkan jaringan kemenangan hasil gerakan penyerang lincah Lionel Messi.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Messi ditanya tentang hubungannya dengan Griezmann.

Pada Selasa lalu Messi memberitahu dia mengalami kesukaran untuk membina hubungan dengan pemain Argentina itu yang sebelum ini mengalami kecederaan.

“Sudah tentu kami tidak ada masalah apa-apa.

“Hubungan saya dengan semua orang adalah baik, di bilik persalinan juga kami bersatu hati. Kami perlukan kejayaan ini dan kini berharap boleh meneruskan dengan cara ini,” kata Messi.

Keputusan perlawanan itu menyaksikan Barcelona menghuni tangga kedua dengan 4 mata di belakang Borussia Dortmund yang mengumpul mata sama namun dibezakan dengan perbezaan jaringan. – MalaysiaGazette