KUALA LUMPUR – Menjadi antara 20 protege Mentor Milenia 2019, anak kepada komposer terkemuka Allahyarham Johan Nawawi dan penyanyi Nora Ariffin, Alif nekad untuk menyambung legasi keluarga.
Katanya, ilmu yang diturunkan daripada kedua ibu dan bapanya menjadi bekalan untuk menjadi salah seorang peserta program realiti itu nanti.
“Niat saya menyertai Mentor Milenia 2019 pun adalah kerana mahu menyambung legasi muzik keluarga memandangkan abang saya tidak berminat dan adik pula masih bersekolah.
“Saya selalu terfikir kalau ibu sudah bersara, siapa yang akan menyambung nama Johan?,” soalnya etika ditemui pada sidang media Mentor Milenia 2019 di Hotel Hilton Petaling Jaya baru-baru ini.
Alif juga berharap akan dapat mengasah bakat nyanyiannya daripada Akim, Stacy, Ernie Zakri, Hazama dan Black.
Mentor Milenia 2019 bakal memulakan siaran 13 Oktober depan, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.
Rancangan itu bakal dihoskan oleh Shuk Sahar, Elly Mazlein dan akan dinilai oleh dua juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat dan Altimet.
Meskipun datang daripada latar belakang penggiat indusrti seni yang disegani, namun Alif menolak dakwaan menggunakan pengaruh kedua ibu bapanya untuk terpilih dalam Mentor Milenia 2019.-MalaysiaGazette