Zainal Kling
Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling bercakap pada sidang media mengenai Kongres Maruah Melayu di Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Kongres Maruah Melayu anjuran empat universiti tempatan yang akan berlangsung pada Ahad ini disifatkan sebagai satu peringatan kepada semua pihak agar berhenti daripada memburukkan orang Melayu.

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emiritus Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, sekiranya tindakan itu terus berleluasa, ia dikhuatiri akan mencetuskan ledakan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.

“Kita harus berterima kasih kepada nilai-nilai Melayu yang berbudi bahasa, berbudi bicara pekerti ini supaya menerima hal ini dengan amat terbuka dan bersabar cukup lama sehingga mereka belum lagi meledak.

“Kalau mereka meledak barangkali akan mendatangkan keburukan dalam semua keadaan.

“Betul kongres ini sebagai peringatan dan kongkongan supaya kita tidak mengeksploitasi keadaan ini. Mentang-mentang orang Melayu itu sabar, baik hati, maka kenapa mesti kita memburuk-burukkannya,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Sinar Harian Live di kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Zainal juga berkata, sekiranya pihak berkuasa tidak melakukan sesuatu terhadap perbuatan menghina, memperlekeh dan menindas orang Melayu secara terbuka, ia dibimbangi ledakan kemarahan itu merebak.

“Itu adalah satu perkara yang amat dahsyat kalau nak difikirkan kerana lama kelamaan kita akan terdesak.

“Apabila kita terlampau terdesak, maka akan muncul ledakan walaupun kecil, ia akan merebak. Inilah implikasi yang harus disedari betul-betul oleh semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast