KUALA LUMPUR –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi program Food Bank telah menyelamatkan sebanyak 1,701 metrik tan lebihan makanan dalam tempoh dua bulan sejak Ogos lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, makanan itu yang melalui proses penyisihan lebih ketat diagihkan kepada kira-kira 300,011 masyarakat dan 4,910 pelajar di peringkat universiti awam.
Kata beliau, program itu dilaksanakan di peringkat negeri mengikut senarai golongan B40 dan 17 universiti awam sebagai usaha menangani kos sara hidup mahasiswa dari keluarga miskin yang kian meningkat.
Katanya, kementeriannya juga sedang giat untuk meluaskan program Food Bank Siswa sekurang-kurangnya ke 20 buah IPTA seluruh negara sehingga akhir tahun ini.
“Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah IPTA ke-17 dalam program ini, melibatkan seramai 200 siswa yang dikenal pasti sebagai kumpulan yang menerima makanan.
“Kita serapkan program ini dengan model food pantry iaitu makanan yang diterima dari penyumbang, kemudian ditempatkan di Food Pantry dan pelajar ini akan manfaatkannya.
“Ia akan dikendalikan oleh persatuan mahasiswa bawah pelajar dan juga akan memberi peluang kepada mereka mengasas organisasi untuk memupuk semangat kesukarelawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Food Bank Satria UPNM di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, program di bawah kementerian itu kini berada dalam landasan yang tepat untuk tiga bulan berbaki ini bagi menyempurnakan Food Bank Siswa di universiti awam.
Katanya, beliau turut menyasarkan 123 lagi entiti sepanjang tahun depan melibatkan Institut Pendidikan Guru, Politeknik dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Menurutnya, beliau banyak menerima permohonan termasuk yang terbaharu dari Universiti Tunku Abdul Rahman. – MalaysiaGazette