KUALA LUMPUR – Walaupun Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencadangkan saman terhadap Grab Inc, Grab Car Sdn Bhd dan My Teksi Sdn Bhd (Grab) namun syarikat itu masih boleh mengemukakan penghujahan untuk membela.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa yang dinyatakan oleh MyCC semalam hanya sekadar cadangan untuk saman.
Katanya, MyCC ada menerima aduan daripada pengguna Grab dan sudah tentu pihaknya akan bertindak dengan melakukan siasatan dan penelitian yang lebih terperinci.
“Pihak yang terlibat masih boleh mengemukakan penghujahan mereka kepada MyCC. Mereka ada beberapa tahap lagi untuk membela diri.
“Lagi pun, ini bukan kes pertama. MAS, AirAsia, MyEG pun pernah kena. Persatuan Pekebun Bunga di Cameron Highlands, pengusaha pasir sungai di Kelantan dan pengusaha air batu Wilayah Persekutuan pun pernah kena,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Food Bank satria di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini.
Saifudin menjelaskan, MyCC adalah sebuah suruhanjaya yang diwujudkan untuk menggalakkan pesaingan di bawah Akta Persaingan 2010.
Katanya, fungsi suruhanjaya itu adalah untuk mempromosi persaingan perniagaan dan perkhidmatan.
“Lawan kepada persaingan adalah monopoli. Memonopoli sahaja bukanlah buruk tetapi kalau monopoli kemudian menindas atau mengambil kesempatan, itu tidak bolehlah.
“Sebab itu Akta Persaingan diwujudkan bagi memastikan rakyat atau komuniti terbanyak dilindungi,” katanya.
Berhubung Grab, beliau menjelaskan, MyCC ada menerima aduan mengenainya, maka suruhanjaya itu menjalankan tugasnya menyelesaikan aduan berkenaan.
“Apabila kita terima aduan, kita teliti kes itu, kemudian mulakan siasatan dan dengar penghujahan. MyCC ini badan bersifat semi kehakiman, jadi dia boleh mengesyorkan berkenaan kuantum yang patut dibayar.
“Kemudian pihak yang dikenakan itu, ada saluran lagi untuk memberikan penghujahan mereka,” katanya.
Ditanya berhubung denda sebanyak RM86.8 juta, Saifuddin Nasution berkata, apa yang diumumkan MyCC semalam itu adalah cadangan berkenaan denda bersabit dengan aduan yang telah dibuat oleh pengguna. – MalaysiaGazette