Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media ketika hadir untuk melawat pusat pendaftaran sempena Sesi Pendaftaran pelajar baru sesi 2019/2020 di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – PKR mengesahkan ada menerima permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, penyertaan itu hanyalah melalui permohonan secara dalam talian.

“Biro Politik PKR akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang,” kata Fahmi.

Berita mengenai penyertaan bekas Bendahari UMNO itu dihangatkan lagi dengan penyebaran tangkap layar butiran permohonan Salleh.

Malah permohonan itu telah diberikan status lulus oleh untuk cabang PKR Kota Belud, Sabah dengan nombor keahlian S0300008562.

Sebelum ini, Salleh menafikan khabar angin beliau menyertai parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertengahan September lalu, Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) menyatakan sokongan penuh kepada Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan.

Perkara itu dinyatakan Presiden USBO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Salleh sebagai Penasihat USBO.

Sebelum ini, media melaporkan Salleh dan Pandikar adalah antara pemimpin masyarakat Bajau yang dijangka menyerahkan borang permohonan menyertai PKR kepada Anwar selepas sambutan Hari Malaysia. -MalaysiaGazette

Status permohonan Salleh Keruak sertai PKR tersebar