KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu memberi peluang kepada parti Melayu lain untuk menebus maruah masing-masing melalui Kongres Maruah Melayu (KMM).
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali turut berharap, pemimpin dan orang Melayu yang hadir ke program berkenaan di Stadium Tertutup Shah Alam hari ini, tidak lagi beretorik atau berpura-pura sehingga menang sorak, kampung tergadai.
“Putra sudah bermaruah, tidak sekongkol dengan musuh Islam dan musuh bangsa Melayu. Kita sudah isytiharkan Pemasyuran Sumpah Keramat 10 Tuntutan Melayu Pribumi Putra baru-baru ini dengan pendirian yang jelas, tegas, berani dan terbuka.
“Perkasa pula, sebagai sebuah NGO sejak 11 tahun lalu telah berjuang demi Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Tidak terbilang isu yang kita tangani dan pelbagai tindakan telah dibuat.
“Contohnya, isu kalimah Allah, Kristianisasi, Dr. Zakir Naik, pendidikan satu aliran, menolak UEC, sekolah vernikular, tanah rezab Melayu dan tanah adat, biasiswa, kek ekonomi negara yang tidak adil antara kaum, isu rasuah dan ketirisan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kongres Maruah Melayu yang menyaksikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptamanya mengundang kehadiran beberapa pemimpin parti Melayu dari Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir dengan alasan tidak menerima jemputan dari pihak penganjur, iaitu empat universiti awam (IPTA).
Dr. Ibrahim yang juga Presiden Perkasa berkata, NGO Melayu itu antara yang pertama mendesak supaya ditubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu 1MDB dan ketirisan.
Katanya, beliau juga lantang mempertahankan pentingnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan dikekalkan, selain membuat laporan polis dalam isu penghinaan Islam, Raja-Raja Melayu dan pencabulan Perlembagaan Negara.
“Bahkan, bertimbun resolusi yang dizahirkan oleh Perkasa serta Parti Putra, selain dan berpuluh seminar, meja bulat dan konvensyen serta diskusi juga perhimpunan diadakan.
“Kita bersendirian dalam hal ini, tetapi dituduh rasis dan ekstremis serta bermacam-macam label daripada bangsa lain dan juga bangsa sendiri.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun tiada siapa yang peduli,” katanya.
Katanya, beliau telah berkorban apa sahaja termasuk wang ringgit, duit pencen, masa dan tenaga lebih 11 tahun lamanya.
“Maka, Parti Putra dan Perkasa serta sahabat setia kekal istiqamah bersama saya tanpa peduli tohmahan dan menolak pelbagai tawaran yang diberikan selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette