KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad diminta jangan berterusan menyalahkan orang Melayu kerana malas dan tidak mahu merebut peluang.
Ini kerana, kelemahan yang ada pada sebahagian orang Malayu kerana kelemahan Dr Mahathir ketika 22 tahun menjadi Perdana Menteri, dakwa Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
“Kalau ada orang Melayu yang gagal, itu juga sebahagian kelemahan Tun yang diberikan kuasa untuk membina kekuatan orang Melayu dan rakyat dalam negara ini,” katanya yang mengulas ucaptama Dr Mahathir mengenai perpecahan orang Melayu pada Kongres Maruah Melayu pagi tadi.
Malah, beliau juga bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa orang Melayu berpecah.
“Melayu berpecah? Memang betul berpecah. Namun siapa yang menjadi punca perpecahan ini. Dari parti UMNO lahir Semangat 46, timbul PKR, dan wujud Bersatu. Bukankah semua parti ini wujud kerana Tun Mahathir ? Justeru parti UMNO berpecah kerana siapa ?
“Hari ini Tun kata Kerajaan PH tiada kekuatan kemelayuannya. Ini juga salah siapa? Bukankah Tun juga yang meruntuhkan kuasa UMNO BN yang kuat Melayunya kerana dendam kesumat menebal dalam diri Tun? Kemudian memenangkan DAP yang benci Melayu?,” soalnya lagi.
Tambah Shamsul Anuar lagi, Kongres Maruah Melayu ini, akan terus tinggal kongres dan tiada sesuatu yang dapat mengubah keadaan jika Dr Mahathir terus mengamalkan sikap dan tindakan yang rugikan orang Melayu dan Bumiputera.
“Kuasa ditangan Tun. Gunakanlah. Bercakap saja tidak cukup,” ujarnya sambil berkata, Muafakat Nasional adalah jalan terbaik untuk orang Melayu serta rakyat Malaysia.