Sebahagian peserta yang hadir pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mewajibkan semua pemohon jawatan dalam sektor awam lulus bahasa Melayu dengan kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan fasih bahasa itu.

Syarat ini juga perlu terpakai kepada semua jawatan dalam sektor awam tanpa pengecualian, selaras dengan statusnya sebagai Bahasa Kebangsaan, kata Kaunselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Za’id Rosli.

Beliau yang membentangkan resolusi Kluster Budaya pada Kongres Maruah Melayu berkata, tulisan rumi dan jawi juga mesti digunakan dalam urusan rasmi selaras Akta Bahasa 1963/1967.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah diberi kuasa untuk mengambil tindakan ke atas isu-isu pelanggaran penggunaan bahasa Melayu.

Muhammad juga menggesa kerajaan memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengambil tindakan terhadap isu pelanggaran penggunaan bahasa Melayu.

“Sudah tiba masanya peranan DBP dipertingkatkan bagi memastikan semua pihak menghormati bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Langkah ini bertepatan supaya bahasa Melayu menjadi lebih dominan dan digunakan dalam semua peringkat,” ujarnya. – MalaysiaGazette