Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Maslan mengesahkan beliau telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis berhubung dakwaan menerima wang yang dikatakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun kata bekas Timbalan Menteri Kewangan itu, beliau tidak menerima cek yang dimaksudkan kedua-dua pihak.

“Saya telah memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan jumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak PDRM dan pihak SPRM.

“Saya juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu disebut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bahawa beliau antara 80 individu dan entiti akan menerima notis kompaun daripada SPRM bagi mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna akaun kes 1MDB.

Latheefa hari ini berkata jumlah notis kompaun itu bernilai RM420 juta yang perlu dijelaskan oleh penerima kompaun dalam tempoh dua minggu dari notis dikeluarkan.

Notis kompaun segera itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) di mana sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadap ke mahkamah.

Mengikut senarai, antara yang menerima notis kompaun adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad.

Entiti yang melibatkan syarikat, parti politik, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan pula adalah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Bahagian-Bahagian UMNO, Barisan Nasional, MIC, MCA, Gerakan, Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, Ahamd Maslan berkata beliau akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap dakwaan itu. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

1MDB: Nazir Razak, Ahmad Maslan antara 80 terima notis kompaun RM430 juta