KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah genap memasuki hari ke-18 akan terus menyambung pemeriksaan balas antara saksi ke-9 dengan peguam bela yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tu Razak sebentar lagi.

Saksinya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang merupakan bekas Ketua Eksekutif (CEO) 1MDB semalam banyak memberi pendedahan tentang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah, ketika diasak oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol bersetuju bahawa Jho Low berkemampuan memanipulasi dengan begitu licik dan sesiapa pun boleh terperangkap dengan keupayaan itu termasuk Najib.

Shahrol juga mendakwa Jho Low telah mengarahkan dirinya untuk memadamkan semua komunikasi antara mereka bagi melindungi ‘The Boss’ iaitu Najib.

Saksi itu berkata, dia tidak berasa curiga terhadap keperluan Jho Low untuk memusnahkan semua bukti kerana Jho Low asyik bercakap mengenai ‘melindungi bos’.

Kenyataan Shahrol ini sebenarnya sama seperti beberapa saksi sebelum ini yang juga mendakwa Jho Low telah mengeluarkan arahan demikian bagi menghapuskan dokumen-dokumen penting khasnya berkaitan dengan 1MDB.

Shahrol juga mendedahkan beliau mula mengenali Jho Low sekitar tahun 2007 ketika lelaki berumur 26 tahun itu menghubunginya terlebih dahulu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Shahrol  juga mendakwa dirinya sangat disukai oleh ahli perniagaan itu kerana dirinya tidak begitu ‘kepochi’ atau sibuk mengambil tahu semua perkara kecuali kerja yang dipertanggungjawabkan sahaja.

“Saya rasa Jho Low membuat penilaian terhadap diri saya ketika kami berurusan di Accenture.

“Saya beranggapan Jho Low melabel saya sebagai seorang yang bukan `kepochi’ atau `busybody’ kerana saya tidak pernah ambil tahu lebih daripada apa yang sepatutnya saya tahu dalam melaksanakan sesuatu tugasan ketika di Accenture.

Perkara yang tidak relevan saya serahkan kepada mereka yang arif,” katanya ketika di soal Shafee semalam.

Selain daripada hubungan itu, Jho Low juga merupakan individu yang telah berunding gaji sebanyak RM80,0000 serta bonus sehingga mencecah ratusan ribu sebagai bayaran untuk Shahrol menerajui 1MDB selaku CEO.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sekitar jam 9.30 pagi ini. – MalaysiaGazette