Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat keluar dari perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas hadir untuk dirakam keterangan oleh Pasukan D5 JSJ di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 08 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP negeri Perak, Nga Kor Ming selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang tadi berhubung siasatan ke atas laman Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page yang didakwa menghasut masyarakat Cina melakukan bantahan di hadapan Istana Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, selaku warganegara yang menghormati undang-undang beliau datang membantu polis dalam siasatan yang didakwa menghasut dan menghina Sultan Selangor.

“Saya telah gesa Bukit Aman menyiasat Najib Razak page yang mana saya dapati telah memuat naik berita palsu cuba melakukan fitnah jenayah ke atas saya.

“Saya yakin keadilan dan kebenaran akan ditegakkan,” katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan ibu pejabat Bukit Aman petang tadi.

Kor Ming meninggalkan kawasan Bukit Aman pada pukul 3 petang selepas berada selama sejam setengah untuk memberi keterangan dan menyerahkan bukti dalam bentuk dokumen.

Terdahulu yang beliau tiba di Bukit Aman pada pukul 1.25 tengahari diiringi peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh.

Ditanya sama ada sesi rakaman keterangan akan disambung, Ahli Parlimen Teluk Intan itu mendakwa, ia telah selesai dan tidak keperluan untuk kembali lagi.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komisioner, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Maslan Mansor mengesahkan Kor Ming akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes menghina Sultan Selangor susulan psatu laporan polis yang dilakukan pengiring Sultan Swlangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette