Datuk Noraini Ahmad
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) membuktikan program subsidi bersasar yang diamalkan Barisan Nasional (BN) merupakan formula terbaik untuk negara.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, jika dulu mereka mengecam tindakan BN mengamalkan sistem apungan harga minyak setiap minggu, kini cara ini jugalah yang mereka mahu laksanakan.

“Hilang sudah janji pilihan raya untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter.

“Sekiranya kerajaan serius untuk melaksanakan semula sistem apungan minyak ini, kerajaan juga harus menjelaskan kepada rakyat adakah mereka akan melaksanakan sama seperti BN dahulu iaitu ada had tertentu.

“Kerajaan perlu beri penjelasan dan jaminan apakah tindakan yang akan diambil sekiranya pasaran harga minyak global terus naik. Sudah semestinya, rakyat tidak boleh dibebankan sekiranya harga minyak naik kerana ia akan memberi implikasi yang tidak baik terutamanya kepada harga barang runcit,” katanya.

Di samping itu, mekanisme pelaksanaan PSP yang akan dilaksanakan oleh kerajaan harus dikaji semula kerana subsidi yang dicadangkan dibimbangi tidak sampai kepada kumpulan sasar kerana sistem digunakan tidak efektif.

“Ini kerana, kerajaan menggunakan data pangkalan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai kenderaan. Persoalannya, bagaimana jika penerima berkenaan tidak mempunyai kenderaan? Adakah mereka akan menerima bantuan atau subsidi yang lain?” soalnya.

Selain itu, menurutnya, subsidi yang diberikan juga terlalu rendah dan tidak munasabah.

Kerajaan pimpinan PH juga seharusnya memperkenalkan mekanisme bagi mengalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, Noraini juga mendesak kerajaan pimpinan PH untuk menjelaskan apakah status pemberian kontrak bernilai RM25.03 juta kepada syarikat GHL Transact Sdn. Bhd. pada Mac lalu yang kononnya untuk membangunkan perisian subsidi petrol.

“Rakyat berhak untuk mengetahui sejauh mana perkembangan perkara ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette