Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Kerajaan Pakatan Harapan mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku (IPCMC) yang tujuan sebenarnya untuk mengawal salah laku polis dan melaksanakan hukuman terhadap mereka.

Sebaliknya, kerajaan perlu menambah baik dan memperkasakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang berperanan mengawasi dan mengambil tindakan terhadap 21 agensi penguatkuasaan di jabatan atau kementerian termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lagipun, PDRM sendiri sudah ada tiga badan yang menjaga dan mengawal salah laku pihak polis dan sebagainya iaitu Jabatan Integriti dan Peraturan Standard, Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993.

Dan yang paling penting adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Polis yang termaktub di dalam Artikel Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan siasatan dan juga tindakan tatatertib terhadap polis.

Selain itu, terdapat agensi dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang mengawasi PDRM seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan lain-lain.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mempersoalkan mengapa IPCMC diwujudkan untuk PDRM sahaja dan bukan untuk agensi penguatkuasa yang lain.

“Adakah kerajaan PH menganggap badan-badan ini gagal sehingga mengusulkan cadangan untuk menubuhkan IPCMC?,” soalnya.

Katanya, pembangkang juga mempersoalkan kebebasan IPCMC kerana lantikan ahli-ahli IPCMC oleh Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri.

Lantaran itu, ada kemungkinan ahli politik dari parti tertentu atau NGO yang menentang polis selama ini dilantik, maka, katanya, IPCMC ini tidak akan bebas membuat keputusan atau terikat dengan agenda-agenda tertentu.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sewajarnya membuat kajian menyeluruh terhadap PDRM iaitu bukan sahaja terhadap isu salah laku tetapi isu- isu yang lebih besar iaitu kebajikan anggota polis dan keluarga mereka seperti isu gaji, perumahan, kenderaan polis, penambahbaikkan balai dan lain-lain.

“Kita sebagai rakyat seharusnya terhutang budi dengan pengorbanan anggota polis serta keluarga yang menggadaikan masa dan nyawa mereka bagi menjaga kita semua. Oleh itu janganlah sesekali melakukan perkara yang boleh meruntunkan semangat mereka seperti pengujudan IPCMC ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast