DAMSYIK – Turki telah meningkatkan kedudukan ketenteraannya di sempadan Syria selepas mengatakan ia sudah bersedia untuk melaksanakan operasi yang mensasarkan pasukan Kurdish yang bersekutu dengan Amerika Syarikat (AS).
Puluhan kenderaan tentera dihantar ke kawasan itu berikutan penarikan pasukan AS dari timur laut Syria.
Presiden Donald Trump yang mempertahankan diri selepas menarik keluar tentera AS mendakwa pasukan Kurdish tidak ditinggalkan.
Keputusan kontroversi Trump itu menerima kecaman dari dalam dan luar negara.
Turki mendakwa militan Kurdish, yang menguasai Angkatan Demokrat Syria (SDF) yang bersekutu dengan AS, sebagai pengganas, dan penarikan AS dilihat sebagai jalan untuk serangan.
Konvoi trak dengan kereta kebal dan perisai menuju ke bandar sempadan Akcakale pada malam Selasa.
Gambar bas yang membawa tentera turut ditunjukkan oleh agensi berita kerajaan Anadolu.
Trump berkata penarikannya – yang digambarkan sebagai “tikam belakang” oleh pasukan Kurdish yang membantu AS menewaskan IS di Syria – hanya membabitkan 50 tentera daripada kira-kira 1,000 tentera AS di negara ini.
Dalam satu siri Tweet, Trump dilihat bernada lembut apabila memuji Turki sebagai rakan perdagangan dan sekutu Nato, beberapa jam selepas memberi amaran akan “memusnahkan dan menghancurkan” ekonominya jika negara itu “melampaui batas”.
“Kami mungkin sedang dalam proses meninggalkan Syria, tetapi tidak semestinya kami meninggalkan Kurdish, yang merupakan orang istimewa dan pejuang yang bagus,” kata Trump, sambil menambah AS akan membantu Kurdish dari segi kewangan dan dengan senjata,” kata Trump. – MalaysiaGazette