Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Isu kenyataan ‘Kongres Barua’ masih belum reda di Dewan Rakyat apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyindir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, beliau ada bertemu dengan Anwar di kantin Parlimen dan bertanyakan hal itu.

Beliau berkata Anwar menjawab; “Dia kata dia dengar-dengar memang terasa macam barua, dia kata.

“Tapi sebenarnya dia kata maruah, itu jenaka dia dengan Tun. Sebab itu jadi viral jadi saya fikir dia kena buat penjelasan.

“M dengan B tu jauh beza ya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Anwar semalam menempelak golongan yang memviralkan video berdurasi 22 saat selepas sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di Putrajaya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memberikan amaran kepada semua pihak supaya tidak memfitnahnya kerana beliau tidak menyebut perkataan “barua” yang merujuk Kongres Maruah Melayu dalam satu klip video tersebar sejak semalam.

“Itu semua politik bangang,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Satu klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan Anwar bergurau kepada Mat Sabu dengan berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih bersemangat selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast