Jurucakap yang merupakan Peguam, Ng Kian Nam dan Pengerusi Biro Aduan dan Perhubungan Awam Parti Gerakan, Henry Teo bersama pemandu-pemandu e-hailing hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada kempen mempertahankan hak pemandu-pemandu e-hailing Malaysia di perkarangan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 10 OKTOBER 2019.

PUTRAJAYA – Sekumpulan 50 pemandu e-hailing hari ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Menteri Pengangkutan mengenai pendaftaran penukaran status kenderaan e-hailing mandatori sebelum penguatkuasannya bermula 12 Oktober ini.

Mereka berkumpul di hadapan Kementerian Pengangkutan kira-kira pukul 11 pagi tadi menyatakan rasa terkilan dengan kenyataan Anthony Loke semalam.

Mereka mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan itu dalam sistem mySikap yang didakwa sebagai tindakan u-turn.

Semalam, Anthony menyatakan pemandu kenderaan e-hailing seperti MyCar atau Grab tidak perlu menukar kategori kenderaan mereka dari kenderaan persendirian (AB) kepada kenderaan e-hailing persendirian (AH) kerana penukaran akan dilaksanakan secara automatik melalui sistem permit kenderaan e-hailing (PSV) di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jurucakapnya, Ketua Biro Kemasyarakatan Sivil MCA, Ng Kian Nam berkata, walaupun Anthony memberi jaminan penukaran status kenderaan kepada e-hailing hanya akan direkodkan dalam sistem MySikap tetapi sebilangan kecil pemandu e-hailing mendakwa perkataan ‘e-hailing persendirian’ dicetak sebagai kod dalam geran pemilikan kenderaan dan singkatan ‘AH’ dalam cukai jalan.

Katanya, pemandu e-hailing tidak mahu penukaran kategori itu tertera dalam apa-apa bentuk termasuk atas kertas dan juga sistem dalam talian.

“Para pemandu e-hailing ini mula bimbang penukaran status kenderaan secara automatik dalam sistam dan atas geran dan cukai jalan akan menjejaskan urusan jual beli di kemudian hari.

“Mereka menentang sistem ini yang dianggap satu bentuk penindasan ke atas kelangsungan hidup mereka dan mahu dasar itu ditarik balik segera sebelum penguatkuasaan mandatori pada 12 Oktober ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kata Kiam Nam, sekiranya kementerian masih berdegil untuk meneruskan pelaksanaan sistem itu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang sambil mengalu-alukan aduan pemandu ehailing yang telah menerima tempias negatif daripada tindakan kerajaan itu.

Beliau hadir menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan Anthony dalam penguatkuasaan pendaftaran status e-hailing yang dianggap satu kezaliman terhadap kebajikan dan mata pencarian pemandu e-hailing negara ini.

Kumpulan itu juga menyenaraikan sebanyak 14 cadangan yang mendesak pertimbangan kementerian dalam membela kebajikan pemandu e-hailing yang terkini dianggarkan bilangan lebih 300,000 orang.

Antara cadangan yang diketengahkan pemandu e-hailingĀ  adalah mengelak pelaksanaan sebarang dasar secara mengejut pada saat-saat akhir sehingga menyusahkan mereka daripada segi kos dan masa termasuk dua syarat yang mengkehendaki mereka menukar status kenderaan dan mempamerkan pelekat e-hailing pada kenderaan pada 4 Oktober lalu.

Mereka juga mahu para anggota pemandu e-hailing wajib dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan atau perancangan dasar berkaitan industri itu pada masa depan.

“Justeru kami juga mahu syarikat pengusaha kami sebenarnya sudah menulis tiga surat mengajak Anthony supaya berdialog dengan kami membincangkan segala isu berbangkit dalam soal e-hailing namun sehingga kini tidak maklumbalas positif daripadanya.

“Atas dasar itulah kami datang sendiri hari ini secara aman dan ikhlas untuk menyerahkan sendiri memorandum mengajak beliau berdialog disamping mempertimbangkan 14 cadangan yang kami sertakan dalam dokumen itu,” tegasnya Kian Nam.

Dalam pada itu, Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Khairul Anwar Bachok berkata, pihaknya tetap akan menguatkuasakan sistem penukaran status kenderaan yang akan berkuatkuasa 12 Oktober ini walaupun menerima bantahan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Khairul Anuar Bachok menunjukkan kenderaan pekerja yang tidak mempunyai pelekat cukai jalan yang telah disita ketika sidang media berhubung kejayaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita kenderaan pekerja melalui OPS KESAN di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 10 OKTOBER 2019.

“Kami tetap akan meneruskan penguatkuasaan pendaftaran kenderaan e-hailing pada 12 Oktober ini seperti yang dijadualkan dan tidak akan kompromi terhadap desakan atau tekanan mana-mana pihak,” tegasnya.- MalaysiaGazette