Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hutang sektor awam setakat akhir Jun 2019 meningkat RM1.1 trilion atau 76.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan pertambahan hutang Kerajaan Persekutuan untuk membiayai defisit fiskal.

Hutang Kerajaan Persekutuan kekal sebagai komponen terbesar dengan RM799.1 bilion atau 69.1% daripada jumlah hutang manakala baki terdiri daripada syarikat awam bukan kewangan (24.8%) dan badan berkanun (6.1%).

Hutang bersih badan berkanun meningkat kepada RM70.1 bilion disebabkan pertambahan terbitan sukuk oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk membiayai perumahan penjawat awam dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Peningkatan hutang oleh syarikat awam bukan kewangan kepada RM286.6 bilion kerana pengeluaran pinjaman untuk projek infrastruktur sedia ada seperti Transit Aliran Massa (MRT), pemanjangan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembinaan landasan keretapi serta pelabuhan dalam sektor minyak dan tenaga. – MalaysiaGazette