Mohammad Hamdan Wahid

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid melahirkan rasa syukur terhadap pengumuman Elaun Khas Perkhidmatan Bomba RM200 sebulan yang akan memanfaatkan 14,400 anggota penyelamat itu di negara ini.

“Saya berasa amat bersyukur kepada Allah SWT susulan pengumuman Elaun khas Skim Perkhidmatan Bomba dalam sesi pembentangan belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

“Saya bagi pihak warga Jabatan Bomba & Penyelamat seluruh negara, mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan, khususnya, DYMM Seri Paduka Baginda Agong, YAB PM, Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi pusat perkhidmatan awam.

“Kami bersyukur telah Bomba diberi pertimbangan yang sewajarnya dengan meluluskan pemohonan Elaun Perkhidmatan Bomba, yang di pohon sejak tahun 2015, kepada seluruh 14,400 anggota Bomba,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut beliau, dengan kelulusan elaun berkenaan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan pegawai bomba yang sedang berkhidmat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Kelulusan ini juga secara langsung akan menaikkan semangat dan motivasi seluruh anggota bomba untuk terus memberi penyampaian perkhidmatan kebombaan dengan lebih cemerlang dan berdedikasi.

“Saya bagi pihak JBPM juga merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada  seluruh rakyat yang sentiasa memberi sokongan, teguran dan perhatian kepada penyampaian  perkhidmatan Bomba selama ini, termasuk memberi perhatian yg tinggi terhadap kebajikan anggota bomba seluruh negara,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette