Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran bercakap pada sidang media mengenai fitnah pembangkang berkenaan isu kewarganegaraan membabitkan kaum india di Ibu Pejabat Pemuda MIC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lebih daripada satu pengkhianatan kepada masyarakat India.

Kaum India yang telah memainkan peranan cukup penting dalam kemenangan PH memenangi Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) akhirnya hanya dibalas dengan ‘tuba’ sahaja.

Begitu luahan Naib Presiden MIC, Datuk Sivarrajh Chandran kerana peruntukan-peruntukan yang telah dirancang dalam Belanjawan 2020 memperlihatkan seolah-olah kaum India tidak penting, malah “dianak tirikan’ oleh PH.

Kata Sivarrajh, dengan tiga peruntukan utama yang telah dikhaskan kepada masyarakat India dalam bajet kali ini, sebenarnya jauh lebih rendah nilainya berbanding kerajaan terdahulu yang sentiasa menambah jumlah itu mengikut keperluan.

“Peruntukan sebanyak RM20 juta melalui TEKUN Nasional untuk membangunkan usahawan India, sebenarnya jumlah tersebut amatlah rendah jika dibandingkan dengan jumlah yang diperuntukan oleh BN sebelum ini bagi tujuan yang sama.

“Dalam Belanjawan 2017, BN telah peruntuk hampir RM200 juta iaitu RM50 juta melalui Tekun Nasional, RM150 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia diikuti pula dengan peruntukan RM250 juta bagi tujuan sama

“Pada Belanjawan 2018 pula, RM50 juta melalui TEKUN Nasional, RM200 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Kini untuk tujuan yang sama hanya diperuntuk sebanyak RM20 juta?,” soalnya.

Sivarrajh terus melontarkan persoalan tentang peruntukan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak RM50 juta bagi tujuan pengurusan dan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Umum mengetahui bahawa peruntukan RM50 juta ini telah dilaksanakan sebelum pemerintahan PH oleh BN melalui Belanjawan 2017 lagi. Menurut angka rasmi, pada tahun 2017 sahaja, hampir RM 84.52 juta diperuntukan bagi tujuan yang sama.

“Perkara ini pernah dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan , Datuk P. Kamalanthan dalam Dewan Rakyat pada 14 November 2017. Malah, peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta juga telah diperuntukan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2017 bagi tujuan pembinaan 50 kelas pra sekolah di Sekolah – Sekolah Tamil terpilih di seluruh negara.

“Persoalannya sekarang, adakah peruntukan RM 50 juta dalam Belanjawan 2020 ini mencukupi jika pada tahun 2017 sahaja kita memerlukan kira-kira RM85 juta untuk tujuan yang sama ?,” soalnya lagi.

Sivarrajh juga menyelitkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan pembangunan sosio ekonomi melalui Unit Transformasi India Malaysia (MITRA).

“RM100 juta sedangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy pernah ‘bercerita’ tentang peruntukan RM4 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang pada 29 Ogos 2018 lagi.

“Sebenarnya jumlah RM100 juta yang diperuntukan bagi tujuan ini adalah hasil usaha BN melalui Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) sejak 2015 dengan peruntukan bernilai RM 100 juta setiap tahun bagi lima tahun secara berterusan berteraskan 11 skop cadangan membabitkan keperluan utama Masyarakat India.

“Jika sebelum ini pemimpin dalam kalangan India PH sering melaungkan kerajaan BN telah mengkhianati masyarakat India, hari ini terbukti siapa sebenarnya pengkhianat. Sudah dua kali bajet tiada satu pun mekanisme pembangunan masyarakat India yang baharu.

“Kejayaan nyata PH untuk masyarakat India hanya sekadar menukar nama SEDIC kepada Mitra dengan melaksanakan dasar sedia ada sebelum ini dengan jumlah peruntukan yang jauh lebih sedikit, itu sahaja,: tempeleknya.

Tambah beliau lagi, dengan menerima undi lebih 75 peratus dalam kalangan masyarakat India, hakikatnya PH sepatutnya jauh lebih peka dengan kehendak serta keperluan komuniti ini dan bukannya retorik bagi mendapatkan undi semata-mata.

“Masyarakat India khususnya dari kumpulan ‘Bottom 40’ dan ‘Middle 40’ yang dijangka menghadapi pelbagai masalah sosio ekonomi, jelas sekali, bajet ini langsung tidak ada komitmen dalam membangunkan komuniti ini.

“Sudah-sudah retorik dan janji bulan bintang,” tegasnya. –MalaysiaGazette