LONDON – Bintang muda Liverpool, Harvey Elliot digantung selama 14 hari dari terlibat dalam sebarang aktiviti perlawanan bola sepak selepas didapati bersalah melanggar peraturan badan induk bola sepak England (FA).
Pemain sayap itu dikenakan tindakan itu apabila muat naik sebuah video di media sosial yang menghina penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Walaupun Elliot sebelum ini telah memohon maaf secara terbuka kepada Kane atas perbuatan tersebut, The FA tetap menjatuhkan hukuman gantung beserta denda berjumlah £350.
FA turut mengarahkan pemain berusia 16 tahun itu mengikuti satu kursus –berkaitan pendidikan bagi mengubah sikap dan sebagai pengajaran.
Menurut The FA lagi, Elliot dikenakan tindakan tersebut kerana telah melanggar Peraturan E3(1), bersabit kesalahan kerana menggunakan tutur kata bertujuan menyerang atau menghina dalam kes Kane itu dirujuk sebagai rakan profesional.
Elliot dipercayai merakam video tersebut ketika sedang menonton perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diantara pasukan Liverpool dan Hotspurs. – MalaysiaGazette