ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan pada paras semasa minggu depan, ditengah-tengah sentimen pasaran bercampur-campur, sebahagian besarnya dipengaruhi perkembangan luaran, terutama rundingan perdagangan US-China serta Brexit, kata penaga.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata, andai perunding gagal mencapai keputusan dan mengekalkan ancaman tarif sedia ada, ia boleh menjurus ringgit ke paras 4.20 berbanding dolar US, kerana pengelakan risiko juga akan menguasai pasaran.

“Hasil rundingan perdagangan US-China di Washington dijangka menentukan prestasi mata wang Asia minggu depan.

“Keputusan perdagangan yang terhad atau perdamaian, yang tidak konklusif pada ketika ini, dijangka akan memulihkan minat untuk mengambil risiko, dengan dolar US yang lemah akan membolehkan ringgit bergerak ke paras 4.16,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sepanjang minggu, ringgit kekal dalam julat 4.18-4.20, apabila pasaran Asia terjejas susulan perdagangan berkaitan rundingan US-China.

“Nota tempatan mengukuh semasa pembentangan Belanjawan 2020 selari kelemahan indeks dolar US,” kata Tan.

Langkah dasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 akan menentukan asas ekonomi Malaysia kekal dalam kedudukan kukuh, dengan unjuran pertumbuhan 4.8 peratus yang lebih cepat tahun depan.

“Dengan mengekalkan agenda penyepaduan fiskal, ekonomi Malaysia dapat menangani halangan luar, dan dilihat sebagai langkah berhemah yang baik untuk sentimen pelabur,” kata Tan.

Ringgit ditutup kekal pada 4.1840/1870 berbanding dolar.

Mata wang tempatan bagaimanapun kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0438/0471 daripada 3.0332/0363, susut berbanding euro kepada 4.6103/6153 daripada 4.5928/5977, dan rendah berbanding pound kepada 5.2292/2346 daripada 5.1631/1680.

Berbanding yen, unit tempatan mengukuh kepada 3.8691/8729 daripada 3.9194/9230 sebelumnya. – MalaysiaGazette