Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan Kelantan 2020 dengan defisit berjumlah RM46.07 juta, peningkatan defisit 31.36 peratus atau RM11 juta berbanding RM35.07 juta pada Belanjawan 2019, kata Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata, walaupun anggaran belanjawan negeri mencatat defisit namun untuk dua tahun berturut-turut kerajaan negeri mencatatkan perbelanjaan sebenar dengan lebihan RM38.2 juta pada 2017 dan RM40.4 juta pada 2018.

“Prestasi kewangan negeri pada 2019 juga dijangka dapat mengurangkan jumlah defisit semasa hasil perbelanjaan berhemat dan mengikut keutamaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Belanjawan Kelantan 2020 yang bertemakan ‘Sederap Usaha Tertuai Sejahtera’ itu berteraskan Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan untuk memastikan semua tindakan kerajaan dan aktiviti rakyat mendapat keberkatan Allah SWT, merancakkan pembangunan ekonomi negeri dan rakyat serta memastikan kebajikan semua rakyat dijaga tanpa mengira bangsa dan agama.

Ahmad berkata anggaran Hasil Negeri pada 2020 dijangka sebanyak RM748.71 juta, meliputi Hasil Cukai sebanyak RM202.22 juta, Hasil Bukan Cukai (RM386.84 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM159.65 juta), dengan peningkatan hasil sebanyak RM5.01 juta (0.67 peratus) berbanding anggaran hasil sebanyak RM743.71 juta pada 2019.

Beliau berkata hasil tanah kekal sebagai penyumbang terbesar, sebanyak RM309.39 juta (41.32 peratus) daripada keseluruhan jumlah hasil, peningkatan sebanyak RM2.31 juta (0.75 peratus) berbanding anggaran pada 2019 sebanyak RM307.08 juta.

“Hasil tanah termasuk premium tanah sebanyak RM122.36 juta, pungutan cukai tanah (RM85.82 juta), notis dan denda lewat bayaran cukai tanah (RM18.24 juta), royalti batu-batan (RM15.29 juta), bayaran tender jualan tanah (RM9 juta), bayaran pendaftaran (RM8.85 juta), bayaran gadaian (RM6.54 juta) serta bayaran pindahmilik (RM6.09 juta).

“Kerajaan negeri juga mensasarkan peningkatan jumlah kutipan tunggakan premium dan cukai tanah sebanyak RM21.40 juta pada 2020,” katanya.

Beliau berkata, terimaan lain, menjadi penyumbang kedua terbesar, sebanyak RM145.03 juta (19.41 peratus) daripada jumlah keseluruhan hasil, membabitkan pampasan Empangan Nenggiri (RM60 juta), lebihan Akaun Amanah yang lain (RM29 juta), jualan pengeluaran kuari (RM20 juta) dan bayaran balik pinjaman oleh badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (RM11 juta).

“Hasil hutan pula menjadi penyumbang ketiga terbesar, sebanyak RM123 juta (16.43 peratus) daripada keseluruhan jumlah hasil, yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM12.3 juta (11.11 peratus) berbanding anggaran RM11.7 juta pada 2019.

“Hasil hutan termasuk premium perhutanan sebanyak RM50 juta, royalti kayu-kayan (RM30 juta), ganti rugi dan pampasan (RM25 juta), permit dan lesen perhutanan (RM7.5 juta), bayaran jabatan hutan (RM5 juta) serta sumbangan konsesi hutan (RM5 juta),” katanya.

Ahmad berkata terimaan daripada agensi kerajaan berjumlah RM119.5 juta (15.96 peratus) dengan terimaan daripada kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM89.5 juta, dalam bentuk gerang dan peruntukan kepada Perbendaharaan negeri yang menjadi hak negeri dalam Perlembagaan Persekutuan manakala terimaan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri dianggarkan sebanyak RM30 juta.

Beliau berkata hasil perlombongan dijangka menyumbang sebanyak RM41.45 juta (5.53 peratus), penurunan sebanyak RM14.25 juta (25.58 peratus) berbanding anggaran RM55.70 juta pada 2019.

Katanya hasil royalti emas dijangka sebanyak RM25 juta, royalti manganese (RM12 juta), royalti feldspar (RM1 juta), royalti bijih besi (RM500,000) dan royalti batuan silika (RM500,000).

“Hasil pelaburan menyumbang RM5.06 juta (0.68 peratus) manakala hasil air dijangka menyumbang sebanyak RM5.01 juta (0.67 peratus) daripada jumlah keseluruhan hasil di mana RM1 juta dijangka diperoleh melalui caj lesen abstraksi air,” katanya.

Sementara itu, bagi Anggaran Perbelanjaan Mengurus Ahmad berkata ia dijangka meningkat sebanyak RM16 juta kepada RM794.78 juta pada 2020 berbanding RM778.78 juta pada tahun lepas, merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM42.65 juta dan Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM752.13 juta.

Beliau berkata sebanyak RM27.4 juta (64.24 peratus) daripada Perbelanjaan Tanggungan diperuntukkan untuk membayar hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan, sekali gus menunjukkan kerajaan Kelantan konsisten membayar hutang kepada kerajaan Persekutuan mengikut kemampuan aliran tunai kerajaan negeri.

Katanya Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM752.13 juta turut diperuntukkan kepada 31 jabatan kerajaan negeri dengan Perbendaharaan negeri menerima peruntukan bekalan dan perkhidmatan paling besar berjumlah RM135.39 juta berbanding RM125.81 juta pada 2019.

“Ia diikuti Perkhidmatan Serbaneka sebanyak RM78.86 juta, Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM66.38 juta) dan Pejabat Sultan (RM30.26 juta).

“Sebanyak RM458.84 juta (57.73 peratus) adalah untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, RM192.37 juta (24.20 peratus) untuk Emolumen, RM128.38 juta (16.15 peratus) untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM12.78 juta (1.61 peratus) untuk Aset dan RM2.4 juta (0.31 peratus) untuk Lain-Lain Perbelanjaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata Peruntukan Pembangunan bagi 2020 dianggarkan berjumlah RM309.51 juta, meningkat sebanyak RM1.65 juta) berbanding 2019 dan dibiayai fi bawah Peruntukan Negeri sebanyak RM219.51 juta dan RM90 juta daripada Sumber Pinjaman. – MalaysiaGazette