Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan permintaan belian meningkat terhadap nota tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, nota tempatan berada pada 4.1780/1810 berbanding dolar AS daripada 4.1840/1870 Jumaat.

“Ringgit mendapat rangsangan berikutan pembentangan Belanjawan 2020, yang bukan saja bertujuan memperbaiki ekonomi negara tetapi juga menangani isu-isu yang dihadapi rakyat termasuk peluang pekerjaan, memastikan kesejahteraan wanita dan memberi penekanan lebih kepada pendidikan dan institusi keagamaan.

“Kami harap ini akan meningkatkan tahap keyakinan di kalangan pelabur asing,” katanya.

Ringgit bagaimanapun didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.8589/8627 daripada 3.8691/8729 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6054/6104 daripada 4.6103/6153.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.0459/0489 daripada 3.0438/0471 dan merosot kepada 5.2618/2672 daripada 5.2292/2346 berbanding pound Britain. – MalaysiaGazette