Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Zamri Hashim

KUALA LUMPUR – Penganjuran Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang mempersoalkan tentang undang-undang Syariah, menukar isi kandungan al-Quran dan merubah keharaman homoseksual adalah satu bentuk debat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Zamri Hashim berkata, kandungan debat seperti itu hanya akan mengundang peserta untuk berfikir dalam kerangka merungkai syarak itu sendiri serta menimbulkan keraguan terhadap Islam dalam kalangan penonton yang hadir.

“Debat seperti ini bukan sekadar bertindak biadab terhadap Islam yang umatnya merupakan majoriti di negara ini, tetapi ia adalah satu tindakan menghina Islam, Yang di Pertuan Agong serta sultan-sultan yang merupakan ketua negeri bertanggungjawab terhadap Islam pada setiap negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Zamri berkata, MUIS menyeru pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap berkenaan termasuk menyiasat objektif penganjuran pertandingan itu.

“Tajuk-tajuk yang dipilih jelas menunjukkan terdapatnya tujuan untuk menghina Islam dalam penganjuran,” dakwanya.

Katanya lagi, tindakan tegas itu adalah bagi memberi pengajaran kepada seluruh masyarakat Islam supaya menerima Malaysia sebagai tanah air yang sepatutnya disertakan dengan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

Semalam telah berlangsung Debat Piala Tun Razak 2019 yang menggunakan tajuk homoseksual (topik dua dan tiga).

Tajuk debat itu didakwa menyatakan bahawa Islam tidak menghalang homoseksual.

Debat tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak dengan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan ke atas penganjur pertandingan berkenaan kerana didakwa tidak menjaga sensiviti beragama. – MalaysiaGazette

Debat Piala Tun Razak tidak jaga sensitiviti agama