KUALA LUMPUR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri (SSP) dan Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri (PUTERI) menuntut siasatan menyeluruh dilakukan berkenan debat kontroversi baru-baru ini.

Yang Dipertua PIBG SSP, Hasnal Hashim dan Presiden PUTERI, Mastura Ma’Sud dalam kenyataan bersama mereka juga menuntut supaya media tidak mencemari nama pendebat yang naif terbabit.

“Pihak penganjur perlu memastikan tajuk perdebatan pada masa depan ditapis supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif,” kata kenyataan yang sama semalam.

Mereka juga mahu pihak kementerian menyiasat sekiranya ada unsur liberalisme yang cuba ditunjukkan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam isu yang sama.

Dalam Debat Piala Tun Razak Bahasa Inggeris di Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) Negeri Sembilan itu, pasukan SSP menjadi pasukan pembangkang manakala Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP) menjadi pasukan kerajaan.

Bagaimanapun mereka menyatakan tajuk pusingan kelima yang menjadi kontroversi itu telah diberikan kepada kedua-dua pasukan setengah jam sebelum debat bermula.

“Tiada bantahan atas tajuk yang diberikan oleh kedua-dua pasukan atau guru pengiring SMAPKajang dan SSP serta tuan rumah SDAR yang berada di bilik persediaan daripada mula tajuk diberi semasa perbahasan hinggalah keputusan dibuat oleh juri.

“Tiada tindakan menarik diri atau mendiamkan diri oleh mana-mana pasukan seperti yang digembar gemburkan di media sosial.

“Ini amat dikesali kerana telah menimbulkan persepsi negatif ke atas pasukan SSP,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan memohon maaf beralasan oleh ketua adijudikasi dan naratif individu di media sosial yang mempersoalkan akidah pendebat bawah umur itu amat dikesali dan dilihat lebih merupakan penyataan menutup kecuaian masing-masing, katanya.- MalaysiaGazette