LONDON – Manchester United sudah membuat persiapan untuk berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini meskipun tanpa khidmat Paul Pogba dan penjaga gol, David De Gea.
Perkara itu diumum pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer apabila memberitahu, De Gea terpaksa dikeluarkan ketika dia membantu Sepanyol dalam perlawanan Kelayakan Euro 2020 berdepan Sweden yang berkesudahan seri 1-1 di Stockholm, kelmarin.
“David perlu diimbas, saya rasa dia akan terlepas peluang bermain,” kata Solskjaer kepada Sky Sports semalam.
Pemain midfield Perancis, Pogba pula masih bergelut dengan kecederaan dan sudah terlepas lima daripada tujuh aksi United akibat cedera buku lali dan terpaksa mendapatkan rawatan di Dubai ketika rehat antarabangsa.
“Paul masih lagi cedera, dia sudah kembali. Dia berusaha keras. Dia mungkin boleh beraksi untuk beberapa perlawanan.
“Dia menjalani imbasan selepas perlawanan menentang Arsenal dan mungkin memerlukan beberapa minggu lagi untuk berehat dan harapnya ia tidak terlalu lama, tapi bagi perlawanan minggu ini memang dia tidak boleh disenaraikan,” ujar Solskjaer lagi.
United mencatat dua kemenangan awal musim ini dan terperosok di tangga ke-12 EPL dengan hanya mengutip sembilan mata.
Dalam pada itu, United lega apabila Anthony Martial, Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka kembali cergas namun Solskjaer belum pasti sama ada menyenaraikan mereka atau tidak.
Liverpool beraksi sempurna musim ini dengan mengutip 24 mata daripada lapan perlawanan dan bakal menyamai rekod Manchester City yang mencatat 18 kemenangan sebagai pendahulu liga jika menang di Old Trafford. – MalaysiaGazette