P. Ramasamy

GEORGE TOWN, 17 Okt — Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Isnin ini berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan satu artikel yang disiarkan sebuah portal, bulan lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, seorang pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menghubunginya 9 Okt lepas untuk keperluan mengambil keterangan daripadanya.

Ramasamy berkata, beliau telah diminta untuk memberi keterangan berhubung artikel bertajuk “Kerajaan baharu tapi polis masih pada takuk lama – Ramasamy” yang disiarkan di laman web www.malaysiagazette.com pada 17 Sept lalu.

Dalam artikel itu, Ramasamy telah mengulas tindakan polis menembak mati tiga lelaki yang disyaki perompak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang, Selangor, 14 Sept lalu. – MalaysiaGazette