Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOREEZA HASHIM, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Kenyataan itu sekali gus menjernihkan pelbagai spekulasi bahawa Mohamed Azmin yang merupakan Timbalan Presiden PKR akan melompat parti atau menubuhkan parti baharu.

Ulasan itu juga selari dengan gambar perbincangan antara Anwar, Azmin dan Saifuddin yang tersebar.

Ditanya sama ada perbincangan itu dijalankan untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti, Saifuddin berkata, gambar yang tersebar menunjukkan segala-galanya dan menghentikan pelbagai spekulasi.

Apabila diaju soalan sama ada Mohamed Azmin akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, Saifuddin berkata: “Tiada kemusykilan, saya sudah lama berkenalan dengannya dan saya tahu bagaimana beliau berpegang kepada janji.”

Saifuddin berkata, beliau tahu Anwar mengekalkan hubungan dengan Mohamed Azmin, walaupun media mungkin melaporkan perkara berlainan.

“Adalah jelas juga bahawa saya tiada masalah untuk berhubungan dengan Azmin,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Tegasnya, sebagai setiausaha agung yang dilantik, beliau boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.

“Selama 20 tahun, saya dan Azmin telah tempuh tinggi rendah dalam parti, termasuk mengasaskan PKR.

“Memang wujud perbezaan, bukan sahaja dalam hal parti, tetapi juga dalam Kabinet yang berpunca daripada soal pendirian. Walau bagaimanapun, kami masih boleh berkomunikasi,” katanya.

Ditanya sama ada komunikasi itu meliputi hal parti, Saifuddin menjawab: “Ada sedikit.”

“Yang kami bincangkan termasuk kadar kemiskinan, bajet, cara menurunkan tol dan banyak lagi.

“Secara keseluruhannya, keadaan baik dan kami menikmati perbualan yang ada,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun memberitahu, isu mengenai kehadiran Mohamed Azmin dalam mesyuarat PKR tidak dibincangkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sipuddin yg cakap… Tapi jimin dgn Nuor tetap senyap…
    Hahaha… Rakyat tak kesah pun… Yg rakyat tau PRU15 KERAjaan PeeH tumbang 🙂

    Peace….

Comments are closed.