Seorang peserta memegang kertas bantahan pada Himpunan Mempertahankan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) anjuran GPMS di pintu masuk hadapan Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menghantar memorandum kepada Universiti Malaya (UM) sebagai menyatakan sokongan padu kepada Naib Canselor universiti itu.

Memorandum itu merupakan sokongan agar Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim tidak tunduk dengan desakan mana-mana pihak yang menggesa beliau supaya melepaskan jawatannya sebagai Naib Canselor UM.

Presiden GPMS, Alif Anas Md. Noor berkata, pihaknya menyokong penuh penglibatan Abdul Rahim pada Kongres Maruah Melayu yang diadakan pada 6 Oktober lalu kerana perkongsiannya pada acara itu menepati peranannya sebagai seorang ahli akademik.

Katanya, GPMS menolak tindakan biadap mana-mana individu mahupun NGO, tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan yang mempersoalkan kedudukan Abdul Rahim sebagai ketua pengurusan universiti dan ahli akademik yang sah dan dijamin oleh hak kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan kajian.

Pengerusi Neo Siswa UM, Mohd Ilman Hakim Zainal Abidin menunjukkan memorandum tuntut tindakan terhadap individu yang mencemarkan istiadat konvokesyen pada Himpunan Mempertahankan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), anjuran GPMS di pintu masuk hadapan Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 OKTOBER 2019.

“Kami menolak sekeras-kerasnya tindakan beberapa ahli politik dan NGO seperti DAP, peguam Siti Kassim, NGO Suaram dan graduan UM yang biadap yang mahukan Naib Canselor UM meletak jawatan.

“Kita juga mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Maslee Malik (Menteri Pendidikan) untuk memberi jaminan dan perlindungan kepada universiti dan naib canselornya atas kebebasan akademik.

“Kita juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang kurang ajar di dalam agenda mereka dan harus menghormati kebebasan akademik institusi pengajian tinggi negara,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Alif menyampaikan ucapan di pekarangan Masjid Ar-Rahman UM sejurus selepas solat Jumaat bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan seorang graduan, Wong Yan Ke apabila mengangkat plakad tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi Universiti Malaya (UM) pada istiadat konvoksyen universiti itu 14 Oktober lalu.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas berucap pada Himpunan Mempertahankan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), anjuran GPMS di pintu masuk hadapan Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 OKTOBER 2019.

Ucapannya turut menyentuh mengenai beberapa NGO, ahli politik dan individu yang bertindak memberi sokongan di atas perbuatan Yan Ke itu.

Kira-kira 30 orang yang merupakan jemaah masjid mengikuti ucapan ringkas beliau yang turut diserta beberapa NGO lain.

Sementara itu, Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd. Isa menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mendakwa dengan segera Yan Ke selepas laporan polis dibuat oleh pihak universiti itu.

Katanya, langkah tersebut adalah untuk memberi peringatan kepada seluruh mahasiswa di semua universiti agar mereka tidak berkelakuan biadap terutama dalam majlis seperti konvokesyen.

“Sekarang ini musim konvokesyen, kalau kita biarkan Yan Ke ini ia dibimbangi akan menyebabkan lebih ramai graduan akan menggunakan pentas konvokesyen ini sepertinya.

“Saya yakin ramai graduan tidak bersetuju dengan apa yang dibuat oleh Yan Ke ini. Ini bukan disebabkan kerana dia Cina, ini juga bukan kerana kaum tetapi ini melibatkan perbuatan biadap yang dibuat olehnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette