Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderamata dari Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan ketika hadir pada Konvensyen UMNO Negeri Selangor 2019 di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 19 OKTOBER 2019.

SHAH ALAM – UMNO tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan ‘serangan balas’ terhadap propaganda yang didakwa didalangi DAP menerusi komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah propaganda yang sama untuk menyerang balas propaganda DAP yang menyentuh sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara.

“Kita harus melakukan balas balik propaganda (DAP) dan saya amat meneliti buku yang ditulis oleh sahabat saya Budiman Mohd Zohdi yang sedang menyiapkan PhDnya khusus untuk propaganda.

” (Kita) akan gunakan pendekatan itu untuk kita balas balik propaganda yang dibuat oleh DAP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen UMNO Selangor hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik berkenaan kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah.

KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

KPM juga akan bekerjasama untuk mendapatkan ulasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai aspek keselamatan yang melibatkan sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara.

Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.

Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast