Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Jika ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyokong cadangan kepimpinan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah, sila tampilkan diri.

Itu tegas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad ketika ditanya mengenai dakwaan wujud sebilangan pemimpin PH sendiri terlibat dalam usaha membentuk kerajaan gabungan pakatan baharu itu.

“Kita pun tak tahu. Kalau ada (pemimpin PH) kita harap dia akan bercakap terus teranglah supaya dia dapat nyatakan dia punya pendirian maka kita kenal siapa dan kenapa dia nak buat begitu.

“Bagi kita (pergerakan PH) semuanya okay..kita memperbaikinya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan amal Deepavali Komuniti Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam dan Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan tidak wujud sebarang keperluan untuk pembentukan satu gabungan baharu seperti yang digembar-gemburkan pembangkang.

Bagaimanapun beliau berkata, apa yang cuba dilakukan pembangkang mengenai cadangan itu adalah hak mereka.

“Bagi kita, kita merasakan tidak ada keperluan untuk pembentukan kerajaan gabungan pakatan baharu tanpa DAP dan Amanah kerana PH sedang berjalan dengan baik dan bertambah baik setiap hari,” ujarnya.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang cadangan kerajaan pimpinan baharu itu mungkin dicadangkan pembangkang sekiranya proses transisi jawatan perdana menteri bukan milik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid yakin Presiden PKR akan mengambilalih jawatan berkenaan.

“Daripada segi transisi antara Tun Dr. Mahathir (Mohamad) dan Anwar Ibrahim kita rasa akan dapat kita lakukan dengan cara yang baik dan licin, tidak akan ada apa-apa masalah.

“Dengan itu, ia akan kekalkan hubungan di antara semua parti dalam Pakatan Harapan, kalau dia nak cetuskan persepsi berlainan itu gaya politik mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast