KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa hampir dua jam untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Ketika ditemui media sejurus keluar dari bangunan Bukit Aman, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memberitahu, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan yang dikenakan terhadapnya.

Katanya, beliau dipanggil sebagai saksi bagi kes yang disiasat ekoran satu hantaran di laman Facebook milik beliau yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.

“Alhamdulillah saya telah dipanggil untuk memberi keterangann sebagai saksi dalam muatan atas nama Nga Kor Ming, Super Fans.

“Saya telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan lepas ni saya serah kepada pihak polis untuk menilai apa-apa keputusan selanjutnya,” katanya.